Followers

Unique of Islam Headline Animator

Sabda Rasulullah SAW:

"Sebarkanlah ajaranku walaupun satu ayat " Surah Al-Ahzab : Ayat 71 "Nescaya Allah memperbaiki bagimu amalan-amalanmu dan mengampuni bagimu dosa-dosamu. Dan barangsiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang besar." Petikan Daripada Kitab Fikhul Jihad Karangan oleh Prof. Dr. Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi ini: “Menggunakan internet untuk menyampaikan maklumat Islam, menyampaikan suara Islam dan memperlihatkan Islam merupakan satu jihad utama”

Show your appreciation to this blog.

Tafsir Mimpi tidak sama seperti di tempat lain

Tuesday, December 9, 2008

10 Nasihat untuk Memahami Maksud Al Quran

Berikut adalah beberapa panduan untuk sesiapa sahaja yang ingin memahami Al Quran, terutama mereka yang tidak memahami sebahagian besar ayat Al Quran hanya kerana ayat-ayat itu adalah di dalam Bahasa Arab. Perkara sebegini bukan halangan untuk anda memahami Al Quran. Malah ramai yang menguasai Bahasa Arab tetapi masih lagi tidak cuba memahami Al Quran. Semoga Allah SWT memberikan hidayah untuk saya dan anda semua.



1- Membeli sebuah Al Quran berserta terjemahan. Mungkin terdapat perbezaan pendapat di kalangan kita tentang terjemahan Al Quran yang paling baik. Saya secara peribadinya mencadangkan agar pembaca membeli terjemahan Al Quran yang dicetak oleh Kerajaan Arab Saudi di dalam Bahasa Indonesia dan juga Tafsir Pimpinan al Rahman terjemahan Dr. Abdullah Basmeih yang dicetak oleh Jabatan Perdana Menteri Malaysia.



2- Peruntukkan waktu secara tetap sama ada harian atau mingguan untuk membaca beberapa ayat Al Quran berserta terjemahan. Tidak perlu terlalu bersemangat kerana selalunya semangat yang berlebihan tidak akan bertahan lama. Jika anda sekadar ingin membaca ayat Al Quran tanpa terjemahan, sememangnya digalakkan setiap hari dalam keadaan yang sederhana.



Namun untuk membacanya berserta terjemahan, perlulah diberikan peruntukan waktu untuk ‘menghadamkan’ terjemahan dan maksud ayat-ayat yang telah dibaca. Mungkin pembaca boleh memperuntukkan masa untuk ayat-ayat daripada juzuk 30 kerana ia ayat-ayat yang sering kita baca dan hafal. Sebagai contoh, mulakan dengan surah al Ikhlas yang mengandungi 4 ayat dan diberi tempoh selama 3 hari untuk membaca, merenung dan memahami maksudnya sebelum berpindah kepada surah al Naas pula.



Begitulah seterusnya.Tidak semestinya anda mengikut susunan misalnya bermula daripada al Fatihah kemudian al Baqarah, Ali Imran dan seterusnya, atau bermula daripada al Naas kemudian al Falaq, al Ikhlas dan seterusnya.



Matlamat kita ialah cuba memahami ayat-ayat Al Quran secara keseluruhan. Mungkin minggu ini kita ingin memahami maksud beberapa ayat daripada surah Yaasin dan minggu depan pula kita ingin mengetahui maksud beberapa ayat daripada surah al Kahfi pula. Apa yang penting, setiap minggu kita akan peruntukkan sedikit masa untuk memahami beberapa ayat dan sikap ini berterusan dengan penuh istiqamah.



3- Tandakan ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya. Sememangnya kita tidak akan dapat memahami dengan jelas setiap ayat yang dibaca. Mungkin ini disebabkan oleh keadaan atau tumpuan kita semasa membacanya. Mungkin juga disebabkan ayat terjemahan itu tidak jelas dan mungkin juga disebabkan kita baru membacanya sekali tanpa benar-benar faham. Walau apa pun sebabnya, jangan biarkan ayat itu berlalu tanpa memastikan kita benar-benar faham maksudnya. Tandakan ayat tersebut dan peruntukkan beberapa hari atau lebih untuk mengkaji maksudnya dengan lebih jelas.



4- Wujudkan panel rujukan sendiri dengan menyimpan nombor telefon beberapa orang ustaz yang dirasakan mampu menghuraikan maksud ayat-ayat yang kurang jelas maksudnya tadi. Rujuk kepada mereka untuk mendapatkan jawapan yang lebih cepat dan mudah. Lebih cepat ialah dengan menulis sms dan dihantar ke telefon bimbit seseorang ustaz, misalnya anda tulis ‘Assalaamualaikum ustaz, apa maksud ayat 23 surah Luqman? Terima kasih’. Mungkin sesetengah ustaz tidak terus membalasnya kerana ingin mengkaji terlebih dahulu. Lihat, anda telah melakukan amal soleh dengan menyebabkan seorang agamawan membuka kembali buku dan kitabnya yang telah lama berhabuk di atas rak buku, hanya kerana satu sms yang ingin tahu tentang tafsir satu ayat daripada Al Quran.



5- Boleh juga mencari maksud ayat tersebut daripada terjemahan edisi yang lain atau membeli buku tafsir Al Quran yang telah diterjemahkan. Kini terdapat banyak buku tafsir yang diterjemahkan dan yang paling baik setakat pengetahuan saya ialah terjemahan Tafsir Ibn Kathir. Buku terjemahan Al Quran juga terdapat dalam banyak versi sama ada di dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris atau Bahasa Indonesia dan lain-lain lagi. Langkah ini mungkin memerlukan kepada perbelanjaan yang lebih untuk memiliki sebanyak mungkin terjemahan Al Quran, tetapi ia tetap berbaloi kerana tujuan kita amat mulia iaitu memahami Al Quran.



6- Pengulangan bacaan tafsiran atau terjemahan ayat yang sama dapat memberikan gambaran yang lebih jelas tentang ayat. Mungkin kali pertama anda membaca terjemahannya dan tafsirannya semasa pemikiran anda tidak berfokus dan tidak tenang disebabkan pelbagai masalah. Kali kedua pula anda membacanya dalam keadaan tenang dan tiada masalah. Pasti bacaan kedua akan lebih membantu anda memahami ayat tersebut, wallahu a’lam.



7- Sebolehnya cari kaset-kaset atau CD yang mengandungi huraian Al Quran daripada ustaz-ustaz atau mana-mana pendakwah. Mungkin anda sibuk dan tak sempat nak mendengar kuliah tafsir, maka bukalah radio atau belilah cd untuk anda belajar daripada dalam kereta atau gunakan alat seperti cd walkman atau mp4 untuk mempelajari tafsir Al Quran. Takkanlah waktu di dalam kereta hanya dengan mendengar lagu atau berita di radio sahaja?



8- Lebih baik lagi jika mempunyai tempat kuliah tafsir yang dihadiri secara tetap. Ini penting untuk menjadikan kita sentiasa istiqamah dalam mempelajari tafsir. Ustaz yang mengajar juga boleh kita jadikan sebagai rujukan tetap kerana kita akan sentiasa bertemu dengan beliau setiap kali tiba waktu kuliah.



9- Layari laman web Islamik yang menawarkan perkhidmatan untuk memahami ayat-ayat Al Quran atau boleh muat turun beberapa program yang mengandungi tafsir atau terjemahan Al Quran. Internet perlu digunakan sebaik mungkin terutama bagi mereka yang boleh ‘online’ semasa berkerja. Program tafsir juga boleh dimuat turun ke dalam laptop atau ke dalam alat seperti telefon bimbit atau telefon PDA yang canggih lagi memudahkan.



10- Cuba pelajari Bahasa Arab untuk lebih mendekatkan diri kita dengan maksud ayat yang dibaca. Hendak seribu daya. Saya secara peribadi telah bertemu dengan orang-orang yang tahu berbahasa Arab dengan mempelajarinya secara sendiri dan mereka bukanlah produk sekolah agama atau universiti di negara Arab.


Waallahu'alam

Oleh: Ustaz Adlan bin Abd Aziz (Ali Tantawi)

terima kasih kepada sahabat sy : ustaz Zalie

No comments:

Add Your Link Here

LinkWithin

Blog Widget by LinkWithin

Jom Solat

ANDA INGIN KUAT? HEBAT? HUBUNGAN ANTARA YANG MAHA ESA DENGAN DIRI KITA

MARILAH MENUNTUT ILMU

PERHATIAN..
letakkan link http://uniqueofislam.blogspot.com/
pada blog anda..
terima kasih.
..........................................................................................

Disclamair:

Blog ini sebenarnya adalah untuk kegunaan rujukan saya di masa kini dan masa hadapan.
kalau terlupa, blog ini la yang akan mengingatkan saya kembali apa yang telah lupa..
moga dapat dikongsi bersama pembaca,pelawat, sahabat tidak kiralah di mana anda semua berada..
Posts di dalam blog ini saya telah mengkaji kesahihannya dahulu sebelum dipost.
Jika masih lagi ada terdapat kesilapan di dalam post blog ini, sila kemukan komen pada post tersebut, saya akan segera mengkaji dan memperbetulkan kembali post tersebut

Sekian Terima Kasih. =)


referer from..

himpunan Doa-doa SESUAI untuk Pelajar

1-DOA MOHON DILINDUNGI DARI ORANG JAHAT

Ya Allah Tuhan yang Nur Nya berada dalam rahsia Nya, dan rahsia Nya berada dalam makhluk Nya, lindungilah aku dari pengelihatan orang-orang yang mengintai dari hati orang hasut dan orang yang zalim, seperti Engkau melindungkan roh manusia dalam tubuhnya, sesungguhnya Engkau maha kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

2-DOA MAKAN UBAT MOHON DISEMBUHKAN

Dengan nama Allah Tuhan yang menyembuhkan. Dengan nama Allah Tuhan yang mencukupkan. Dengan nama Allah Tuhan yang memaafkan. Dengan nama Allah Tuhan yang tidak dimudaratkan oleh segala sesuatu, baik di bumi mahupun di langit dan Ia maha mendengar dan maha mengetahui.

3-DOA MOHON DIHIDUPKAN HATI

Ya Allah Tuhan yang maha hidip, berdiri sendiri, pencipta langit dan bumi, Tuhan yang maha besar dan maha mulia, Ya Allah tidak ada Tuhan yang patut disembah hanya Engkau, aku memohon kepada Mu semuga kiranya Engkau hidupkan akan hatiku dengan Nur hidayah Mu. Ya Tuhan ku yang maha kasih sayang.

4-DOA KETIKA MEMULAKAN PEKERJAAN

Dengan nama Allah, aku mulai dan aku bertawakal kepada Allah, aku berpegang teguh kepada Allah, cukup Allah tempatku berpegang dan bertawakal, tidak ada yang lebih kuat dan kuasa hanya Allah yang maha tinggi dan Esa.

5-DOA MOHON KEKUATAN IMAN

Wahai Allah, berikanlah kepada hamba keimanan yang sebenar-benarnya yang tiada kekufuran sesudahnya itu serta merupakan rahmat yang dengannya itu hamba dapat memperoleh kemuliaaan tuhan di dunia dan akhirat.

6-DOA DIBUKA DADA UNTUK MENERIMA ILMU DAN DIBERI KAFASIHAN

Ya Allah, Bukakanlah dadaku, mudahkanlah urusanku dan hilangkanlah kekakuan pada lidah agar mereka faham akan perkataan ku.

7-TASBIH UNTUK HILANGKAN WAS-WAS

Maha suci Tuhan yang memiliki, Tuhan yang maha kudus, Tuhan yang menjadikan dan yang memperbuat. jika Ia mengkehendaki, dihilangkan Nya dan diganti Nya dengan kejadian yang baru. Tidaklah yang demikian itu menyusahkan bagi Allah SWT.


8-DOA MOHON MIMPI BERTEMU NABI SAW


Ya Allah sumber pancaran Nur, Ya Allah Tuhan yang mengatur semua perkara, Semuga Engkau sampaikan daripadaku salam dan tahiyyat kepada roh Nabi Muhammmad SAW an roh keluarga Nabi Muhammad SAW.

9-DOA MOHON KEMUDAHAN DALAM BEKERJA DAN BERFIKIR

Ya Allah, tidak ada yang mudah, kecuali sesuatu yang Engkau jadikan mudah, Engkaulah yang menjadikan yang susah itu mudah.

10-DOA UNTUK MENERANGKAN PENGELIHATAN

Ya Nur (dibaca 11 kali setiap hari selepas mengerjakan sembahyang fardhu lima waktu)