Sekiranya anda bukan berniat untuk menjadi jutawan, tetapi sekadar ingin hidup sederhana, beribadat kepada Allah. Serta dalam masa yang sama tidak mahu mempunyai bebanan hutang dan dikurniakan kecukupan dalam semua perkara, amalkan membaca Surah Al-Waqiah setiap malam.
Menurut Ibnu Mas’ud, Rasulullah s.a.w telah bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, ia tidak akan ditimpa kemiskinan selama-lamanya.”[3]
Sekiranya anda sekarang berada di dalam keadaan terdesak, ditimpa kesusahan, memerlukan “fast-cash” untuk sesuatu perkara mustahak, maka ikutlah petua Rasulullah s.a.w. Di dalam sebuah hadith yang diriwayat oleh Huzaifah r.a., apabila Rasulullah s.a.w mengalami kesulitan, beliau akan segera mengerjakan solat.[4] Solat yang dimaksudkan adalah solat sunat. Ini adalah selaras dengan firman Allah di dalam surah Al-Baqarah ayat 45, “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan solat; dan sesungguhnya solat itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk”.
Di dalam riwayat lain diceritakan oleh Abdullah bin Salam r.a., ketika keluarga Rasulullah menghadapi sebarang kesempitan rezeki, beliau akan memerintahkan mereka mendirikan solat dan membaca ayat 132 surah Taha.[5]
Firman Allah di dalam ayat berkenaan, “Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan sembahyang, dan hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertaqwa.”
No comments:
Post a Comment